Seks Wanita Gemuk

SOALAN:
Saya berumur 23 tahun dan sudah dua tahun berumah tangga tetapi belum mempunyai cahaya mata.

Berat badan saya 85 kilogram (kg) dan masalahnya, apabila bersama suami, saya tidak berasa pancutannya ke dalam rahim saya.

Adakah ia menyebabkan saya tidak dapat hamil? Adakah masalah berat badan saya juga menjadi salah satu punca sukar hamil?

Nie,
Wakaf Tapai, Kuala Terengganu.

JAWAPAN:
Ramai yang mempunyai fahaman tidak tepat mengenai pancutan air mani ke dalam faraj sewaktu hubungan seks. Diharap penjelasan di bawah dapat menjawab pertanyaan anda.

Pertama, faraj (vagina), pintu rahim (serviks) dan rahim (uterus) tidak mempunyai saraf deria sentuhan seperti kulit permukaan tubuh kita. Ini bermakna, pancutan air mani (ejakulasi) ke dalam faraj tidak dapat dirasai seperti pancutan air mani ke permukaan badan.

Bagaimanapun, sewaktu ejakulasi terbabit, berlaku pengecutan otot zakar yang boleh dirasai seperti denyutan berulang-kali. Asalkan berlaku ejakulasi ke dalam faraj, ini bermakna air mani berjaya dimasukkan ke dalam faraj, ini sudah mencukupi, tidak perlu dimasukkan ke dalam rahim.

Yang lebih penting adalah sperma yang terkandung di dalam air mani terbabit berjaya berenang memasuki pintu rahim menuju ke dalam ruang rahim sebelum terus ke kedua-dua belah tiub falopio untuk mensenyawakan telur (jika ada).

Setelah ereksi zakar berhenti atau zakar dikeluarkan dari faraj, sekeliling dinding faraj yang tidak mempunyai struktur kukuh ini menjadi bertaup semula menyebabkan air mani juga turut tumpah keluar semula.

Banyaknya air mani tidak bermakna jika bilangan serta mutu sperma di dalamnya kurang atau tiada langsung. Masalah air mani keluar semula dari faraj adalah perkara biasa yang dialami oleh semua wanita, kecuali mungkin jika air mani yang dihasilkan sangat sedikit isi padunya.

Air mani tidak terus masuk ke dalam rahim, sperma juga tidak terus berenang ke dalam rahim selepas berlakunya ejakulasi.

Jenis pancutan air mani (sama ada laju atau perlahan) juga tidak mempengaruhi keadaan.

Bilangan, pergerakan dan sifat normal sperma yang dihasilkan adalah lebih penting. Ini dapat diketahui melalui ujian analisa air mani yang dapat dilakukan di kebanyakan makmal perubatan atau hospital.

Anda tidak menyatakan ketinggian anda untuk mengira indeks jisim badan yang sesuai bagi anda. Mengikut perkiraan bagi berat badan 85kg, ketinggian yang sesuai adalah 185 sentimeter (sm) dan maksimum 211sm, ini adalah ketinggian yang jarang bagi wanita Malaysia.

Berkemungkinan anda lebih rendah daripada ini, bermakna anda mempunyai berat badan yang berlebihan. Pertambahan mahupun pengurangan berat badan yang mendadak boleh menyebabkan kegagalan pengeluaran telur (anovulasi).

Berat badan yang obes juga menyebabkan kesukaran hamil. Seeloknya anda dan suami menjalani pemeriksaan kesuburan terlebih dulu. Dengan usia anda, tahap kesuburan dijangka masih tinggi.

No related posts.