Hubungan suami isteri dingin

HUBUNGAN saya dengan isteri sangat dingin. Bolehkah saya menggunakan ‘Spanish Fly’ untuk mengembalikan keceriaan dalam hubungan suami isteri? Adakah Spanish Fly berbahaya?

NAP

Kuala Krai, Kelantan

Anda dapati hubungan intim seksual dengan isteri dingin dan anda bertindak bersendirian tanpa berbincang dengan isteri. Sekurang-kurangnya, anda perlu memberitahunya perasaan anda terhadapnya dan mendapat penjelasan daripadanya.

Jika dia ada masalah yang anda boleh bantu, ini sekurang-kurangnya dapat membantu anda mendekatinya dan jika masalahnya dapat diatasi, mungkin perasaan syahwatnya kepada anda akan kembali atau dia terbuka untuk mendapat rawatan pakar seksual.

Masalah dingin seks perlu diselesaikan secara bermuafakat dan bukan secara bertindak bersendirian tanpa berbincang dengan pasangan.

Jika komunikasi buntu antara pasangan, pasangan itu perlu berusaha mengatasinya dengan mendapat khidmat kaunselor.

Berbalik kepada pertanyaan anda mengenai ‘Spanish fly’, untuk makluman anda dan pembaca, jangan mudah terpengaruh dengan iklan ‘portion sex’ atau ‘ubat guna-guna untuk seks’ yang dipaparkan dalam Internet.

Kebanyakannya penipuan dan jikapun betul, ia dijual tanpa maklumat tepat mengenai kesan negatif yang boleh berlaku kepada ‘mangsa’.

Spanish fly atau lalat Spanish bukan lalat dan ia juga bukan dari Sepanyol. Ia sejenis racun yang dihasilkan daripada kulit unggas jenis blister beetle seperti Lytta vesicatoria yang biasa ditemui di hutan Eropah dan Asia. Kulit unggas ini pernah digunakan dalam zaman silam untuk merangsang syahwat.

Ketika itu maklumat mengenai kesan sampingan tidak ada dan sebilangan besar pengamal bahan itu didapati mengalami penyakit rosak buah pinggang dan mati.

Sebenarnya bahan ini merosakkan sel dalam badan. Jika termakan, ia membuatkan buah pinggang mengalami radang dan jika ia keluar melalui air kencing, salur kencing akan radang dan air kencing mengandungi darah.

Spanish Fly kini diharamkan di kebanyakan negara. Iklan mengenainya dalam Internet sebenarnya tidak mengandungi bahan itu. Pengusaha menggunakan nama Spanish Fly untuk menarik perhatian.

Bagaimanapun, jika kebetulan produk itu mengandungi serbuk unggas itu, mereka yang menggunakannya atau ‘si mangsa’ akan mengalami kerosakan buah pinggang.

Tentu anda tidak mahu menganiaya pasangan anda dengan memberinya Spanish Fly yang anda beli dari pasaran gelap atau melalui Internet tanpa pengetahuannya!

Lagi pun tanpa mengetahui sebab isteri dingin, cara apa pun yang anda lakukan tidak akan berkesan. Anda perlu tahu, organ seks paling hebat ialah ‘minda’. Jika minda buntu dan perasaan terganggu, apa-apa ubat guna guna pun tidak berkesan.

Saya syorkan anda berbincang dengan pasangan anda dan cuba cari penyelesaian secara bermuafakat. Kini, semua masalah seksual lelaki dan wanita ada penyelesaiannya.

Yang mustahak ialah anda berdua mempunyai minda terbuka, dapat bicara secara terbuka dan terbuka untuk mendapat rawatan atau bimbingan.

Related posts:

  1. Urutan Intim Suami Isteri
  2. Masalah hubungan seks: Suami selalu letih
  3. 3 teknik menggoda isteri bagi menikmati hubungan seks yang lebih nikmat
  4. Suami Isteri Menonton Video Lucah